fb fb fb fb fb

TBC 2025: Negeri Sembilan dijangka terima pertambahan 500,000 kenderaan

Foto Hiasan

SEREMBAN, 22 Januari - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menganggarkan pertambahan sebanyak 500,000 kenderaan dijangka memasuki negeri itu sempena Tahun Baharu Cina 2025.

Pengarahnya Hanif Yusabra Yusuf berkata, Operasi Khas Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2025 telah dilaksanakan bermula 20 Januari hingga 9 Februari depan.

Operasi bertujuan memastikan keselamatan dan kelancaran trafik sepanjang musim perayaan itu.

Fokus utama operasi adalah meningkatkan pematuhan peraturan dan undang-undang jalan raya dalam kalangan pengguna jalan raya sekali gus mengaplikasi pendekatan mendidik pengguna supaya memandu secara berhemah.

"Antara pendektana dan strategi bagi Operasi Khas Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2025, kali ini meningkatkan rondaan terutama di kawasan "blackspot" kemalangan. Kita nasihatkan pengguna lebih berhati hati di kawasan sering berlaku kemalangan maut. Ada tiga lokasi iaitu jalan Port Dickson, Lubuk Cina. Kedua Jalan Seremban Kuala Klawang, Sg Pertang dan Kuala Pilah Jalan Seremban," kata Hanif Yusabra.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Op Tahun Baru Cina 2025 di Hentian Rehat dan Rawat Seremban arah Selatan.

Sementara itu Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan J Arul Kumar memaklumkan, tahap kesedaran masyarakat terutama di negeri itu berada pada tahap baik.

Masyarakat jelas cakna dengan undang-undang dan peraturan jalan raya dengan bantuan program advokasi yang dijalankan.

"Maklum balas daripada masyarakat itu sangat baik, tetapi kita harap maklum balas itu diteruskan diaplikasi setiap hari bukan sahaja musim perayaan," kata J Arul Kumar.

TETITIA YUSOFF