fb fb fb fb fb

Tayangan 'Zheng He', sempena meraikan hubungan 50 tahun Malaysia-China

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Disember- Dokumentari “Zheng He” bakal ditayangkan sempena meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata dokumentari itu dijangka dapat meningkatkan kefahaman serta memperkukuh keharmonian budaya Malaysia dan China.

"Daripada tayangan filem itu, memang jelas bahawa sejarah tercipta memang sudah panjang, sudah lama, hubungan erat antara China dan Malaysia.

Pada tahun ini, kita meraikan 50 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan China dan program ini adalah salah satu daripada pengisian program bagi kita meraikannya," kata Datuk Aaron kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui media pada Tayangan Perdana Dokumentari ‘Zheng He’ di Pusat Kebudayaan China, Menara Bangkok Bank, Kuala Lumpur.

Majlis tayangan perdana itu terbitan bersama Kelab Jambatan Bahasa Cina (Kuala Lumpur) dan Pusat Kebudayaan China Kuala Lumpur.

Acara berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di ibu negara dengan turut disaksikan Duta Besar Republik China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Dokumentari tersebut merangkumi dua episod iaitu ‘Di Ambang Latar Langit Baharu’ dan ‘Persahabatan Melangkaui Sempadan’ yang diilhamkan oleh sejarah pelayaran Laksamana Zheng He ke Asia Tenggara.

Dengan gabungan teknologi multimedia moden, dokumentari tersebut memberi pengalaman visual berkualiti tinggi dengan penceritaan sejarah yang mampu memberi pengalaman berbeza kepada penonton dalam menelusuri kegemilangan sejarah persahabatan Malaysia-China.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM