fb fb fb fb fb

Tawaran kemasukan Tingkatan Enam boleh disemak mulai esok

KUALA LUMPUR, 18 Mei - Semakan tawaran kemasukan ke Tingkatan Enam Semester 1 Tahun 2025 boleh dibuat secara dalam talian mulai esok.

Semakan boleh dibuat melalui melalui pautan  https://sst6.moe.gov.my/ atau melalui sekolah asal masing-masing.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan memaklumkan bagi pelajar yang tidak menerima tawaran, rayuan boleh dibuat mulai 19 hingga 25 Mei , manakala keputusan rayuan boleh disemak melalui kaedah sama pada 3 Jun.

Mulai tahun ini, KPM juga akan melaksanakan Program Pendidikan Tingkatan Enam di universiti awam melalui kerjasama silang bersama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Program akan dilaksana secara rintis di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM), dengan dua bidang pengajian ditawarkan iaitu sains dan sains sosial.

Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 yang menerima tawaran ke Tingkatan Enam serta memenuhi syarat ditetapkan boleh membuat permohonan untuk kemasukan ke Program Pendidikan Tingkatan Enam di universiti awam mulai 19 hingga 25 Mei ini.

“Keputusan kemasukan ke program ini boleh disemak pada 3 Jun melalui pautan https://sst6.moe.gov.my/,” menurut KPM.

semua pelajar yang menerima tawaran ke Tingkatan Enam perlu melapor diri di Pusat Tingkatan Enam yang dinyatakan dalam surat tawaran pada 10 Jun.

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN