fb fb fb fb fb

Tangkap siput buluh, 11 warga Thailand ditahan Maritim Malaysia

Peralatan menangkap hasil laut turut dirampas Maritim Malaysia

KUALA PERLIS, 10 Februari- 11 warga Thailand ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana disyaki melakukan aktiviti menangkap siput buluh di kedudukan 1.2 batu nautika dari barat muara Sungai Baru, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain dalam satu kenyataan berkata, kesemuanya terdiri daripada tiga tekong dan lapan awak-awak berusia antara 18 hingga 42 tahun.

"Bot ronda Zon Maritim Kuala Perlis iaitu Perkasa 1227 yang sedang melakukan rondaan Op Aman dan Op Tiris 3.0 di sekitar perairan Perlis telah menghampiri tiga bot dan mendapati bot-bot berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan mendapati, ketiga-tiga bot terbabit yang berpengkalan di negara jiran...ketika ditahan mereka disyaki sedang melakukan aktiviti menangkap siput buluh dalam keadaan gelap," katanya dalam kenyataan itu.

Terdapat beberapa awak-awak telah terjun ke dalam laut dan cuba melarikan diri namun situasi cemas tersebut dapat dikawal anggota Maritim Malaysia.

Ketiga-tiga bot dianggarkan bernilai RM40,000 bersama-sama 11 warga Thailand itu dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat bawah Seksyen 15(1)(a), Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Bagaimanapun orang ramai diminta segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri itu dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162 serta talian MERS 999.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI