fb fb fb fb fb

Tangani ancaman perpecahan tanpa kompromi- Agong

Foto Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 30 Mac-Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Islam.

Menerusi catatan di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, baginda berpesan agar rakyat terus memelihara asas negara iaitu perpaduan dan keharmonian antara kaum.

"Setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kepercayaan agama atau warna kulit mempunyai tanggungjawab antara satu sama lain menjaga perpaduan kita ini berdasarkan lima Rukun Negara yang harus sentiasa terpahat dalam hati nurani seluruh rakyat.

"Usaha yang kukuh juga mesti dilaksanakan untuk membenteras tanpa kompromi sebarang anasir yang membawa ancaman perpecahan", menurut kenyataan berkenaan.

Jelas baginda, usaha menjaga perpaduan merupakan usaha yang berterusan.

Usaha berkenaan perlu dipupuk dan disemai dalam kalangan rakyat.

"Perpaduan kita tidak patut di permukaan sahaja, tetapi mesti lebih mendalam, terutamanya apabila timbul keperluan untuk menangani situasi di mana sesetengah perasaan mungkin terguris akibat kejahilan, sama ada yang disengajakan mahu pun tidak", titah baginda.

Baginda turut berharap pesanan berkenaan akan diambil tindakan oleh kerajaan dan rakyat.

Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berdoa agar rakyat sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD