(ATMĀ melalui Briged Ke-11 Infantri Malaysia mengatur gerak 23 pegawai dan 307 anggota bagi membantu
operasi mengesan mangsa tanah runtuh di Batang Kali)
BATANG KALI, 21 Disember- Mayat lelaki dewasa yang juga mangsa ke-26 tragedi tanah runtuh di sini ditemukan, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah dalam kenyataan memaklumkan, mayat berkenaan ditemukan di sektor B, bersama dua ekor anjing yang telah mati, pada pukul 11.19 pagi.
"Mayat lelaki dewasa tersebut dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat, manakala bangkai dua ekor anjing terbabit dihantar ke Jabatan Veterinar Kuala Lumpur," katanya.
Suffian menambah, operasi pencarian ditangguhkan sementara pada pukul 4.15 petang susulan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
"Namun demikian, operasi mengesan akan diteruskan sekiranya keadaan cuaca bertambah baik dan aspek keselamatan petugas terjamin," katanya.
Setakat ini, tujuh mangsa masih hilang, 26 orang terkorban dan 61 lagi terselamat dalam kejadian pada awal pagi Jumaat lalu.
Operasi hari keenam itu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).
"Ia turut dibantu Unit K9 terdiri daripada sembilan ekor anjing pengesan dari PDRM dan JBPM.
"Penggunaan 11 buah jentera berat masih kekal digunakan dan tindakan pencarian menggunakan kaedah 'sweeper' yang terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) dan ATM dengan meluaskan perimeter lokasi pencarian dari lokasi kejadian," katanya.
(Foto fail)