fb fb fb fb fb

Tanah runtuh di Terengganu, rumah rosak 90 peratus

Foto RTM

KEMAMAN, 1 Januari- Seorang pemuda dan sepupunya hilang tempat berteduh apabila rumah mereka runtuh dan rosak teruk akibat tanah runtuh, Sabtu lalu.
 
Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.00 tengah malam di Felda Neram Dua, dekat Bandar Ceneh Baru menyebabkan mereka nyaris kehilangan nyawa.

Ketika kejadian, mangsa sedang tidur sebelum bergegas keluar apabila terdengar bunyi runtuhan tanah yang kuat.
 
"Saya terdengar macam atap itu nak tercabut. Di sini, ada kera, kadang-kadang mereka main atas atap itu. Saya terkejut lihat dinding mula jatuh dulu. Saya pun terus bergegas bangun panggil kawan lagi selepas itu habis runtuh bahagian belakang ini," kata pemilik rumah, Mohd Saiful Bahari Ismail kepada pemberita.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pengurusan Bencana Terengganu, Hanafiah Mat menerusi kenyataan memaklumkan kejadian dipercayai berlaku ekoran hujan lebat dan limpahan sungai berdekatan yang menyebabkan berlaku pergerakan tanah.

Jelas beliau, mangsa ditempatkan sementara di rumah kakitangan FELDA berkenaan.

Kerajaan negeri akan membina sebuah rumah baharu untuk mereka dengan kerjasama pengurusan FELDA.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM