KUALA LUMPUR, 29 Ogos- Satu halangan 'backlog' atau timbunan dikesan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sepanjang 15 meter susulan insiden tanah mendap di Jalan Masjid India.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Muhamad memaklumkan pihaknya kini telah mengambil tindakan bagi merungkai 'backlog' tersebut namun ia akan dilaksanakan secara berperingkat.
Halangan tersebut dikesan dalam lurang kumbahan dari lokasi mendapan tanah jerlus sehingga ke lokasi Wisma Yakin.
"Kita masuk kamera dari dua arah.. atas dan bawah.. daripada atas tidak berlaku pengurangan air, hanya 0.3 meter tapi di peringkat bawah kita tengok ia (air) turun hampir separuh.. selepas membaca gerakan kamera itu kita percaya bahawa terdapat halangan di dalam paip dari jarak 'manhole' (lurang kumbahan) Wisma Yakin, menyebabkan berlaku 'backlog' kepada halangan iaitu pada anggaran 15 meter.
"Pada pukul 5.00 tadi, kita telah memulakan usaha untuk merungkaikan 'backlog' itu kita telah usahakan dan 'team' (kumpulan) telah bergerak.. dan kalau 'backlog' itu berjaya kita rungkaikan.. kita percaya kita boleh nampak imej," katanya dalam satu sidang media di lokasi kejadian tanah mendap di Masjid India di sini.
Sementara itu, Nor Hisham turut memaklumkan pasukan SAR turut berdepan risiko tinggi ketika mencari mangsa disebabkan tekanan air serta gas beracun yang dikesan di dalam lurang kumbahan di lokasi kejadian.
"Kita juga telah membawa empat penyelam pakar untuk menyelam dan berdasarkan pada ujian kita, paras air yang ada di Wisma Yakin kita rasa dapat bergerak sedikit sahaja.. tetapi risiko paling besar pada penyelam disebabkan tekanan air.
"Petang tadi, kita mulakan dengan kaedah secara tarikan sedikit-sedikit oleh tiga agensi, bomba (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia), APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) dan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur).
".. Malam ini selepas kita mengurangkan air kita akan mula gunakan pacutan tinggi oleh pihak IWK (Indah Water Konsortium)..apabila keadaan selamat, kita akan nilai balik..selamat ke tidak untuk turun..baru kita putuskan untuk langkah seterusnya..kerana risiko terlampau tinggi untuk hantar pasukan ke dalam," katanya.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata SAR insiden tanah mendap itu akan diteruskan bagi mencari wanita warga India yang hilang dalam kejadian jumaat lalu.
"Sekarang ini apa yang boleh diperkatakan adalah pasukan penyelamat berada dalam keadaan selamat untuk kita meneruskan pencarian ini. Kita sama-sama doakan agar mangsa ditemukan..kita meneruskan pencarian," katanya kepada pemberita di sini.
BERITA BERKAITAN: