fb fb fb fb fb

Tanah mendap: Laluan KM66.1 dibuka semula - ANIH

(FOTO FB LPT)

KUANTAN, 28 Julai - Pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) ANIH Berhad mengumumkan pembukaan semula laluan KM66.1 lebuh raya itu yang ditutup sebelum ini ekoran kejadian tanah mendap yang berlaku pada malam Selasa lepas.

ANIH Berhad memaklumkan pembukaan semula sepenuhnya laluan itu dibuat selepas langkah komprehensif diambil dan usaha penilaian sewajarnya telah dilaksanakan.

(FOTO FB LPT)

“Kerja baik pulih segera membolehkan laluan arah Timur dibuka semula pada lewat tengah malam Rabu, manakala laluan kontra diaktifkan pada 10 pagi semalam bagi laluan ke Kuala Lumpur,” kata ANIH menerusi kenyataan.

ANIH berhad turut memaklumkan, syarikat komited untuk mengekalkan standard keselamatan tertinggi dan pemantauan berterusan keadaan jalan raya sentiasa akan diberikan perhatian untuk keselamatan dan kesejahteraan semua pengguna jalan raya.

"Semua pihak berkaitan termasuk Polis, Bomba dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) selaku pemilik projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah membuat penilaian segera serta mengambil tindakan pemulihan segera dengan kelulusan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), selepas kejadian itu berlaku.

Tanah mendap yang berlaku pada malam Selasa, dipercayai berpunca daripada kerja pembinaan terowong laluan ECRL di kawasan itu.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan MRL memaklumkan pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi menyiasat punca kejadian itu.

Media Baharu