fb fb fb fb fb

Tanah jerlus Masjid India: Pasukan SAR guna kamera kesan mangsa

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos-Usaha mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang dilaporkan terjatuh dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India kini tertumpu kepada usaha memecah sisa batuan yang terdapat di lurang di hadapan Wisma Yakin menggunakan Mesin jet pembetung berkuasa tinggi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata penggunaan kamera menerusi teknik 'push rod' dan 'crawler' telah mengesan sisa batuan dipercayai akibat tanah jerlus itu pada kedudukan empat meter selepas lurang berkenaan.

"Sisa batuan ini perlu dialihkan agar pasukan sar dapat melihat jika terdapat sebarang objek asing termasuk mangsa tersangkut pada sisa batuan itu.

"Buat masa ini, kita telah melakukan empat kali kaedah 'jetting' dan kami akan teruskan sehingga sisa batuan ini berjaya dipecahkan sepenuhnya katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Tambahnya lagi, 100 kampit beg pasir telah diletakkan di sekitar lokasi kejadian bagi mengelak limpahan air hujan.

Menurutnya, operasi ini akan diteruskan sehingga mangsa ditemukan.

Jumaat lalu, media melaporkan seorang pelancong wanita dari India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dikhuatiri terjatuh ke dalam tanah jerlus berhampiran Masjid India, di sini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD