fb fb fb fb fb

Tambah kawasan Hutan Simpan Kekal di Port Dickson

PORT DICKSON, 4 Jun- Kerajaan Negeri Sembilan dalam proses menambah kawasan Hutan Simpan Kekal, di negeri ini, melibatkan tanah kerajaan berkeluasan 330 hektar di daerah ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ketika ini Negeri Sembilan mempunyai Hutan Simpan Kekal seluas 155,086 hektar atau 23 peratus daripada keluasan tanah negeri selaras Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia.

"Hutan simpan Port Dickson yang kita katakan tadi adalah hutan simpan bakau yang akan kita wartakan dan kita harap bahawa ini juga akan menjadi satu pusat kajian.

"Kita tengah kenal pasti kawasan tersebut, kita ada bakau di sekitar Sungai Nipah, Chuah, Lukut dan Sungai Linggi, antara yang ada...tapi kita nak lihat perancangan akan datang supaya apabila kita sudah wartakan, tidak mahu ia dikeluarkan begitu sahaja pada masa akan datang. Biar itu menjadi kekal sebagai khazanah kita," katanya.

(Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun)

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Sembilan di PD Forest@ Sungai Menyala Port Dickson, hari ini.

Aminuddin turut merasmikan Dataran Astronomi dan Jam Matahari pertama di PD Forest@ Sungai Menyala yang belum pernah wujud dalam mana-mana Hutan Simpan Kekal di Malaysia.

Dataran Astronomi dan Jam matahari juga telah mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Record (MBOR).

Media Baharu