fb fb fb fb fb

Tamat lawatan kerja tiga hari di Malaysia, PM China berlepas pulang

Li Qiang berlepas pulang ke China menaiki pesawat rasminya

SEPANG, 20 Jun- Perdana Menteri China Li Qiang berlepas pulang hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia. 

Pesawat membawa beliau serta rombongan berlepas pukul 2.15 minit petang dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 

Turut hadir mengucapkan selamat jalan ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Seri Datuk Johari Abdul, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan beberapa kenamaan lain. 

Sepanjang lawatan, beberapa pertemuan serta program diatur termasuk kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan perjumpaan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Menerusi pertemuan itu, kedua-dua negara turut menyatakan komitmen terutama dalam memperkasa kerjasama pelbagai bidang antara Malaysia dan China termasuk ekonomi digital, pembangunan hijau, pelancongan, perumahan dan pembangunan urbanisasi, pendidikan tinggi, sains dan teknologi serta pengeksportan agrikomoditi ke China. 

Turut dibincangkan ialah hal berkaitan hubungan dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama. 

Dalam rangka lawatan rasmi ini, Li turut berkesempatan menyaksikan pemeteraian 14 memorandum persefahaman, perjanjian (MoU/MoA), protokol dan kenyataan bersama melibatkan sembilan kementerian antara Malaysia dan China.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE