KUALA LUMPUR, 20 Jun- Malaysia berhasrat memperkukuhkan mesej kesatuan dan kemakmuran yang lebih luas dalam keluarga ASEAN menerusi penyertaan di Ekspo Dunia 2025, di Osaka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tahun hadapan merupakan tahun yang mengujakan buat Malaysia, memandangkan negara bukan sahaja akan tampil pada pentas dunia di Ekspo 2025 tetapi juga bakal memegang peranan sebagai Pengerusi ASEAN.
"Memang terdapat persamaan teras antara kedua-dua platform ini kerana kedua-duanya memerlukan kerjasama, inovasi dan visi bersama untuk masa depan yang lebih baik.
"Mereka menekankan kuasa perpaduan, menyerlahkan pelbagai perspektif dan kekuatan unik kami bukanlah halangan tetapi pemangkin untuk belajar, berkembang dan mencipta sesuatu yang benar-benar luar biasa,"katanya.
Tambahnya, Ekspo 2025 bukan sekadar pameran tetapi menyerlahkan idea, inovasi dan aspirasi untuk masa depan yang lebih baik dan dinamik .
Beliau juga berharap agar Pavilion Malaysia dapat memberi inspirasi kepada pengunjung pada ekspo itu nanti.
Datuk Seri Fadillah berkata demikian dalam ucapannya pada majlis pelancaran penyertaan Malaysia di Ekspo Dunia Osaka 2025, di ibu negara.
Malaysia memilih tema "Menjalin Masa Depan Secara Harmoni", mencerminkan komitmennya terhadap kerjasama, perpaduan dalam kepelbagaian dan kesalinghubungan masyarakat.
Ekspo Dunia 2025 di Osaka, dijadualkan berlangsung dari 13 April hingga 13 Okt 2025, dijangka mampu menarik seramai 28.2 juta pengunjung.
Sebanyak 161 negara dan sembilan pertubuhan antarabangsa telah mengesahkan penyertaan mereka setakat ini.