fb fb fb fb fb

Imbang trilema tenaga, capai karbon sifar bersih menjelang 2050

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR, 20 Jun - Malaysia memerlukan pengimbangan teliti trilema tenaga dalam memastikan tenaga yang lestari, selamat dan mampu milik untuk masa hadapan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini bagi melaksanakan sasaran kerajaan mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 dan meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu dalam sistem pembekalan elektrik daripada 25 kepada 70 peratus.

Katanya usaha itu turut disokong dengan memperkenalkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang mewujudkan laluan untuk campuran tenaga, pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan inisiatif peralihan tenaga.

"Sebelum ini sasaran kerajaan secara rasmi ialah kita hendak mencapai sifar bersih seawal tahun 2050, jadi apabila kita bincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara baru-baru ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita memutuskan bahawa kita tetap terus kita nak mencapai sifar bersih tahun 2050.

"Tetapi ia memerlukan banyak usaha dan kita akan bawa perkara ini secara rasmi ke kabinet lah, tetapi ia bagi saya langkah yang positif tapi kita perlulah sokongan daripada institusi kewangan daripada pihak syarikat, kerajaan juga kena merangka dasar-dasar yang relevan untuk memastikan objektif itu dapat dicapai sebab masih banyak lagi yang perlu dilakukan, kata Nik Nazmi.

Beliau bercakap kepada media selepas Pelancaran Persidangan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) 2024, di sini.

Persidangan SIDC 2024 menekankan keperluan perpaduan global dalam mengutamakan pelaburan yang mampan demi kesejahteraan manusia dan cabaran alam sekitar yang kian meningkat.

TETITIA YUSOFF