fb fb fb fb fb

Tahun Melawat Johor 2026: Teroka kerjasama rentas sempadan dengan Grab

Foto FB Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU, 19 Jun - Kerajaan Johor dan syarikat Grab sedang meneroka pelbagai inisiatif kerjasama strategik bagi perkukuh sektor pelancongan dan pengangkutan negeri menjelang Tahun Melawat Johor 2026, seterusnya melancarkan lagi pergerakan pelancong dan rakyat Johor dan Singapura.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan, antara agenda utama yang dibincangkan termasuk kemas kini berhubung Perjanjian Perjalanan Rentas Sempadan serta cadangan kolaborasi bersama Tourism Johor bagi menjayakan kempen Visit Johor 2026 secara lebih menyeluruh dan inklusif.

"Mesyuarat ini turut menyentuh potensi kerjasama rentas sempadan yang melibatkan kerjasama antara Kementerian Pengangkutan (MOT) Malaysia dan Singapura, dengan peranan Grab dan penyedia pengangkutan awam lain dalam melancarkan pergerakan pelancong dan rakyat antara kedua-dua negara," ujarnya.

Datuk Onn Hafiz berkata, satu platform gabungan digital dan fizikal turut dicadang diwujudkan dengan memperkenalkan tempat-tempat menarik yang wajib dikunjungi di Johor. 

Inisiatif itu dilihat berpotensi besar untuk membantu pelancong mendapatkan maklumat dengan lebih mudah, sama ada secara dalam talian mahupun luar talian sekali gus merancakkan lagi sektor pelancongan negeri. 

“Inisiatif ini juga membuka peluang pendapatan baharu kepada rakyat, merancakkan ekonomi setempat serta menjadikan Johor sebagai negeri yang moden, terbuka dan bersedia menerima kedatangan dunia. Insya-Allah," katanya.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM