KUALA LUMPUR, 31 Disember- Usah terlibat dengan dalam apa-apa acara yang keterlaluan sehingga mengorbankan nilai akhlak dan adab dalam menyambut kedatangan tahun baru.
Menteri di Jabatan perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Nai’m Mokhtar dalam satu kenyataan menyeru semua pihak bermuhasabah diri, mempertingkat kesyukuran atas segala nikmat dan rahmat Allah SWT serta memperkukuh perpaduan bagi mencapai agenda Malaysia Madani.
Beliau turut mengajak semua pihak berdoa sepenuh hati, terus cakna dan membantu sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin dan mereka yang sedang diuji dengan bencana banjir diberi kekuatan dan ketabahan.
"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru semua pihak dalam menyambut ketibaan Tahun Baharu 2024, sambutan yang amat sinonim dengan kegembiraan, marilah kita terus cakna dengan isu kemanusiaan di Gaza, Palestin.
"Teruslah kita membantu dalam apa jua kemampuan dan mendoakan saudara-saudara di Palestin yang sedang menghadapi kezaliman dan kerakusan rejim Zionis Israel," kata Na'im dalam kenyataan.
Pihaknya juga berterima kasih atas dedikasi pasukan petugas barisan hadapan membantu menyelamatkan penduduk yang terjejas banjir dan semua pihak yang menghulurkan bantuan serta sumbangan.
"Marilah kita berdoa untuk rakyat Malaysia yang sedang berhadapan dengan bencana banjir sehingga menyebabkan mereka kehilangan tempat berteduh dan terpaksa dipindahkan."
"Semoga semua mangsa yang terlibat diberikan kekuatan agar dapat kembali membina semula kehidupan mereka," tambah Na'im.