KOTA BHARU, 20 Januari – Seramai 291 pengamal media, termasuk mereka yang masih berkhidmat dan telah bersara di seluruh negara, telah menerima manfaat melalui inisiatif Tabung Kasih@HAWANA yang diperkenalkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata daripada jumlah itu, 46 penerima adalah pengamal media dari Kelantan.
Beliau menegaskan bahawa jasa dan bakti pengamal media sebagai pelapor kepada masyarakat sangat penting dan perlu dihargai.
“Saya lihat untuk tahun ini, mungkin kita akan teliti lebih banyak cara untuk membantu mereka.
"Peranan mereka yang sangat penting dalam melaporkan kejadian dan merakam sejarah tidak seharusnya kita ketepikan,” katanya.
Fahmi berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada bekas pemberita sambilan Utusan Malaysia, Hapizah Aziz, 71 tahun, yang menghidap penyakit kencing manis selama 20 tahun, di kediamannya di Kampung Pintu Geng, di sini.
Beliau turut menyerahkan bantuan kepada bekas editor BERNAMA, Zabidi Ishar, 55 tahun, di Kubang Kerian, di sini.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, dan Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.