SIBU, 30 April- Sejumlah RM30.43 juta wang zakat berjaya dikutip Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) bagi tempoh Januari sehingga 31 Mac lalu.
Menurut Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak Abg Mohd Shibli Abg Mohd Nailie, daripada jumlah itu sejumlah RM25.60 juta telah diagihkan kepada asnaf- asnaf yang layak.
Jelasnya lagi, agihan tersebut dilaksanakan melalui empat program utama TBS iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan, Program Membangunkan Institusi Islam, Program Memantapkan Kebajikan Ummah dan Program Peningkatan Kemahiran Ummah.
“Program Bantuan Pendidikan dilihat dapat membantu melepaskan keluarga asnaf daripada kitaran kemiskinan.
“Bantuan pendidikan telah banyak kalau kita nak kira ramai yang telah dibantu, khususnya untuk memudahkan mereka masuk ke IPT dan juga beberapa usaha lain dalam hal pendidikan.
“Kedua tentang kebajikan, kita turut membantu. Ketiga untuk institusi yang membantu meningkatkan pengetahuan dalam bab agama, kehidupan dan bagaimana mencari peluang dan rezeki,”katanya
BTS juga katanya turut mengadakan kursus kemahiran pendek bagi membantu pesertanya menjana pendapatan.
Beliau ditemui pada Majlis Hari Bersama Pelanggan TBS Bahagian Sibu yang diadakan di Dewan Kompleks Islam Sibu hari ini.
Majlis tersebut diadakan bagi meraikan pelanggan-pelanggan sempena sambutan Raya Aidilfitri pada tahun ini selain menghargai mereka yang terlibat dalam menyumbang kepada TBS.
Mereka yang hadir terdiri daripada pembayar Zakat, penerima bantuan, Amil, Daie, NGO, agensi Kerajaan & Swasta dan lain-lain.
Dalam majlis tersebut, para hadirin telah disajikan dengan jamuan Aidilfitri, persembahan lagu-lagu raya, perkhidmatan kaunter dan sebagainya.