
PUTRAJAYA, 9 April — Kementerian Pengangkutan (MOT) menggalakkan syarikat e-hailing memperluaskan konsep ‘car pool’ atau perkongsian perjalanan sebagai alternatif lebih fleksibel bagi membantu orang ramai mengurangkan kos perjalanan harian.
- Dasar lebih fleksibel sedang dirangka untuk membolehkan perkhidmatan perkongsian kenderaan dilaksanakan secara lebih meluas.
- Inisiatif telah melalui fasa percubaan bersama beberapa syarikat, membolehkan pelaksanaan segera.
- Kelonggaran dasar mesti dikawal supaya tidak menjejaskan keselamatan dan pematuhan undang-undang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata pendekatan itu mampu memberi lebih pilihan kepada pengguna termasuk berkongsi kenderaan dengan penumpang lain sekali gus menjimatkan perbelanjaan.
“Dasar lebih fleksibel sedang dirangka bagi membolehkan industri e-hailing melaksanakan perkhidmatan ini secara lebih meluas dalam masa terdekat.
“Langkah ini dapat meringankan beban pengguna dan mengurangkan kos, selain boleh dilaksanakan segera memandangkan ia telah melalui fasa percubaan atau ‘proof of concept’ bersama beberapa syarikat e-hailing,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Pengangkutan, di sini, hari ini.
Beliau berkata konsep itu juga berpotensi untuk diperluaskan dengan pantas bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati lebih ramai pengguna dalam tempoh singkat.
Dalam pada itu, Loke menegaskan semua pihak perlu lebih proaktif dan fleksibel dalam mendepani cabaran semasa termasuk menyesuaikan dasar serta peraturan sedia ada.
Bagaimanapun, katanya, sebarang kelonggaran dasar perlu dilaksanakan tanpa menjejaskan aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang.
Langkah berkenaan dilihat sebagai antara penyelesaian praktikal dalam menangani tekanan kos sara hidup selain memperkukuh sistem mobiliti negara agar lebih cekap dan responsif.