fb fb fb fb fb

Suruhanjaya Koperasi lulus RM85.9 juta untuk pembiayaan Tabung Modal Pusingan

Amran Abdul Kadir (dua kanan) pada Majlis Apresiasi Koperasi Terbaik dan Sambutan Hari Raya Gerakan Koperasi Negeri Pahang 2024 di Dewan Tun Razak di Temerloh, Pahang pada Selasa lalu

TEMERLOH, 9 Mei- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meluluskan pembiayaan Tabung Modal Pusingan (TMP) sebanyak RM85.9 juta kepada koperasi yang menjalankan produk berskala besar sehingga April tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amran Abdul Kadir berkata, inisatif tersebut diwujudkan bagi membantu koperasi dalam penyediaan dana untuk melaksanakan projek berdaya maju.

Lapan kemudahan itu adalah pembiayaan Cagaran (PKTC), Pembiayaan Koperasi Mikro (MicCoopFi-1), Pembiayaan Permulaan (SuFi-1), Pembiayaan Lestari (LesFi-1), Pembiayaan 100 Koperasi Terbaik (Best100Fi-1) Good Pay Master Financing (GPMFi-1).

"Tahun ni kita dah beri hampir RM86 juta kepada 66 koperasi. Jadi, RM30 juta kita beri dengan kadar faedah tidak lebih daripada enam peratus, tetapi kalau koperasi itu termasuk dalam 100 terbaik, ia boleh pinjam sampai RM30 juta dengan kadar faedah empat peratus saja.

"(Ia juga) dengan duit setem yang rendah yang diberi pengecualian oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN). Oleh itu, saya mengharapkan koperasi berlumba-lumba untuk tersenarai dalam 100 koperasi terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Apresiasi Koperasi Terbaik dan Sambutan Hari Raya Gerakan Koperasi Negeri Pahang 2024 di Dewan Tun Razak di sini.

Amran berkata, sehingga April tahun ini Koperasi Wilayah Persekutuan telah menerima pembiayaan RM30.4 juta, diikuti Selangor (RM17.7 juta), Kelantan (RM11.1 juta), Johor (RM7.3 juta), manakala Pahang (RM2.5 juta).

Menurutnya, pembiayaan mudah TMP SKM antara RM10,000 hingga RM3 juta dapat merangsang koperasi menjalankan aktiviti perniagaan yang menjanjikan pulangan lebih besar.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, jumlah koperasi berdaftar di Pahang adalah sebanyak 1,178 buah, dengan kekuatan anggota seramai 305 ribu.

Tambah beliau, syer dan yuran terkumpul adalah berjumlah RM 448.95 juta sehingga 31 Disember 2023 dan  aset terkumpul bagi gerakan koperasi di Pahang ini adalah berjumlah RM1,560.16 juta.

Dalam pada itu, beliau menyarankan koperator di Pahang untuk terus memperkasa dan meningkatkan daya saing koperasi dapat terus maju ke hadapan serta merebut peluang-peluang ekonomi.

Tegasnya, gerak kerja bersepadu ke arah transformasi gerakan koperasi negeri Pahang itu dapat memainkan peranan sebagai salah satu peneraju utama yang menjana pertumbuhan sosioekonomi negara.

SITI AISHAH MD ISA