KUALA LUMPUR, 19 November- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memohon penyambungan reman terhadap seorang pengawal keselamatan bagi membantu siasatan kes surat tawaran kerja palsu menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata tempoh reman lelaki berusia 32 tahun itu akan tamat esok dan pihaknya memohon lanjutan reman selama empat hari.
Tambah beliau, sekiranya lanjutan reman tidak dapat diperoleh, kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan arahan selanjutnya.
Selain itu, siasatan bagi mendapatkan keterangan saintifik dan forensik bagi telefon bimbit dan komputer juga akan diusahakan segera.
Suspek tersebut ditahan polis di Pejabat Daerah Samarahan, Sarawak, Sabtu lepas susulan laporan polis oleh seorang lelaki pada 15 Oktober mendakwa menerima surat tawaran kerja daripada lelaki terbabit yang mendakwa sebagai pegawai setiausaha pejabat di pejabat TPM.
Siasatan mendapati lelaki yang bekerja di sebuah premis kerajaan di Samarahan, Sarawak sejak 2018 itu telah menawarkan pelbagai jenis pekerjaan di pejabat kerajaan Persekutuan kepada beberapa orang rakan termasuk pengadu pada hujung Oktober.
Mengulas lanjut, Tan Sri Razarudin berkata lelaki terbabit mengaku sudah memusnahkan surat tawaran kerja palsu itu menggunakan mesin pencincang kertas di tempat kerjanya dan semakan telefon bimbit mendapati terdapat perbualan antara suspek dan pengadu berkenaan kes ini.
Siasatan lanjut dijalankan bawah Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.