BANDARAYA MELAKA, 2 Julai - Kerajaan negeri Melaka berhasrat menjadikan Sungai Melaka Fasa 2 sebagai tempat latihan kepada sebahagian sukan air di negeri itu.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia termasuk sukan perahu naga dan kanu sekali gus dapat membantu peningkatan promosi sungai sepanjang 4.9km itu sebagai destinasi pelancongan air.
“Saya juga meminta pihak Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) memberikan jadual, waktu dan tarikh tertentu kepada persatuan perahu naga untuk mereka adakan aktiviti riadah dan latihan.
Kita akan buat tarikan baharu dengan memberikan ruang kepada peminat-peminat kanu menjadikan sungai itu sebagai tempat latihan dan beriadah," kat Ab Rauf kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Perlumbaan Perahu Naga Negeri Melaka 2023, di sungai berkenaan.
(Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh)
Dalam pada itu, Datuk Seri Ab Rauf berkata, seramai 3,000 pemancing disasar menyertai Pertandingan Memancing Ikan Air Tawar sepanjang Sungai Melaka Fasa 2, September ini, sempena Tahun Melawat Melaka 2024.
Sementara itu, lebih 60 pasukan dari 20 negara dijangka menyertai Perlumbaan Perahu Naga Peringkat Antarabangsa yang berlangsung di Sungai Melaka Fasa 2, pada Jun 2024.
Pengerusi Pengelola Perlumbaan Perahu Naga Melaka, Chiu Chee Ming berkata ia adalah saranan daripada kerajaan negeri dalam memperkasa objektif Tahun Melawat Melaka 2024.
Beliau yakin penganjuran perlumbaan perahu naga berkenaan akan mendapat sambutan baik khasnya dari negara seperti China, Hong Kong dan wakil negara Eropah.
“Jadi, untuk perlumbaan antarabangsa kali ini, kita akan mula membuat persiapan awal menjelang bulan November tahun ini.
Jangkaan penyertaan adalah sebanyak 60 pasukan dari pelbagai negara," jelas Chee Ming ketika ditemui pemberita di lokasi sama.
(Pengerusi Pengelola Perlumbaan Perahu Naga Melaka, Chiu Chee Ming)
Sementara itu, Datuk Seri Ab Rauf turut menyarankan penambahbaikan terhadap penganjuran perlumbaan tersebut bagi menarik lebih banyak penyertaan pada masa akan datang.