fb fb fb fb fb

Sumber REE di Kelantan perlu kajian lanjut, elak isu royalti berulang

KUALA LUMPUR, 20 September - Susulan Kelantan dipercayai memiliki sumber mineral dan unsur nadir bumi (REE) mencecah RM125 bilion, kajian lanjut perlu diusahakan bagi memastikan sumber REE itu dapat diurus dengan baik dan bijaksana, kata Ahli Dewan Negara, Dr. Wan Martina Wan Yusoff.

Wan Martina berpendapat satu perancangan jangka panjang wajar dilakukan untuk menguruskan sumber tersebut, kerana ia melibatkan seluruh kawasan hutan di Semenanjung.

Ini sekali gus dapat memastikan kaedah terbaik bagi mengimbangi faedah ekonomi perlombongan yang akan memberi kesan terhadap alam sekitar bagi tempoh jangka masa panjang.

Terutamanya ke atas ekosistem hutan dan biodiversiti yang melibatkan Hutan Simpan Kekal (HSK) negara.  

"Adakah negara kita sudah mempunyai pakar-pakar yang  mencukupi untuk pengurusan bahan ini supaya kita tidak terlalu bergantung kepada pakar dari luar.

"Adakah terdapat jaminan bahawa dasar larangan eksport bahan mentah nadir bumi yang  bakal dirangka dapat mengelakkkan bahan mentah nadir dari dieksploitasi oleh pelbagai pihak memandangkan jenis nadir dan teknologi yang sesuai belum dikenal pasti.

"Apakah bentuk bantuan yang dirancang oleh kerajaan kepada Kelantan dalam menguruskan nadir bumi ini supaya dapat menghasilkan pulangan yang menguntungkan kerajaan negeri," soalnya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal RMKe-12 di Dewan Negara.

Tambah beliau, sudah pasti Kelantan tidak mahu isu royalti petroleum berulang.

Pada 24 Februari lalu, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak 5 peratus.

Ini kerana Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan bahawa negeri itu hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika.

Bagaimanapun, kerajaan persekutuan telah menyalurkan wang ehsan ke negeri-negeri yang berhampiran dengan kawasan penggalian petroleum, termasuk Kelantan dan Terengganu, untuk projek yang memberi manfaat kepada rakyat.

Media Baharu