KANGAR, 20 Januari - Menjelangnya sambutan Tahun Baharu Cina yang akan disambut penghujung bulan ini, masyarakat Cina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Indera Kayangan menerima sumbangan buah limau mandarin dan sampul "angpow".
Sebanyak 70 kotak buah limau dan 20,000 sampul angpau diagihkan bertujuan memperkukuhkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat di kawasan Indera Kayangan.
Menurut ADUN Indera Kayangan Gan Ay Ling, masyarakat berbilang kaum perlu bersyukur dengan keamanan dan keharmonian di negara ini dengan semua kaum bebas meraikan perayaan masing-masing dan amalan saling kunjung mengunjung dalam setiap perayaan menjadi tradisi dalam masyarakat majmuk.
Program sebegini dilaksanakan setiap kali Tahun Baharu Cina bagi memberi kegembiraan kepada setiap keluarga yang meraikannya bersama jiran tetangga dan masyarakat berbilang kaum yang lain agar perpaduan yang sekian lama terjalin terus diperkukuhkan.
"Pada tahun 2025 ini merupakan Tahun Ular dalam kalendar Cina dan pada tahun ini DUN Indera Kayangan telah mengadakan Program Edaran LImau dan juga angpau kepada seluruh komuniti di DUN Indera Kayangan khususnya dan beberapa kawasan di sekitar Perlis," kata Gan Ay Ling.
Beliau memaklumkannya pada Program Sumbangan Limau Mandarin dan Sampul Angpau Tahun Baharu Cina di sekitar Pasar Cina, di sini.
Lebih 5,000 masyarakat Tionghua di DUN Indera Kayangan bakal meraikan Tahun Baharu Cina kali ini bersama keluarga dan sahabat handai dimana persiapan menyambutnya giat dilaksanakan.