Sumbangan korban ringankan perbelanjaan

Antara lembu korban yang diserahkan kepada wakil penerima pada Majlis Agihan Perdana Lembu Korban MADANI Parlimen Permatang Pauh yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

PERMATANG PASIR, 26 Mei – Sebanyak 260 ekor lembu korban disumbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk Parlimen Permatang Pauh bagi membantu golongan memerlukan bersempena dengan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif Korban Madani meluaskan manfaat ibadah korban kepada masyarakat setempat, khususnya membantu golongan memerlukan.
  • Program menyediakan bahagian korban mampu milik: RM499 satu bahagian, tambahan RM50 untuk kos pengurusan.
  • Masjid dan surau menghargai sumbangan; peserta B40 berpeluang menyertai, dan komuniti berharap program diteruskan.
  • 155 ekor diagihkan menerusi Program Korban MADANI di tiga DUN; 105 ekor disumbangkan kepada Masjid Daerah Seberang Perai Tengah.

Penerima dan wakil kariah masjid, yang menyifatkan inisiatif itu membantu memperluas manfaat ibadah korban kepada masyarakat setempat khususnya di Parlimen Permatang Pauh.

Setiausaha Masjid Al-Muhajirin Bandar Seberang Jaya, Wan Mohamad Hafizuddin Wan Adnan berkata, inisiatif itu memberi peluang kepada anak kariah menunaikan ibadah korban pada harga berpatutan.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri, kami menggunakan inisiatif subsidi ini untuk memberi peluang kepada anak-anak kariah Masjid Al-Muhajirin Bandar Seberang Jaya menunaikan ibadah korban tahun ini dengan harga yang sangat murah, iaitu RM499 satu bahagian dan hanya tambahan RM50 untuk kos pengurusan.

“Inisiatif ini adalah kali kedua kami sertai. Pada tahun ini, kami berjaya mengumpulkan seramai 70 peserta dengan pembelian 10 ekor lembu. Terima kasih sekali lagi,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Surau As-Sakinah Taman Seri Pauh, Mohd Shukri Mohamed berkata, sumbangan lembu korban tersebut amat dihargai penduduk setempat.

“Saya ucap terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi menyumbangkan lembu untuk Surau As-Sakinah, Taman Seri Pauh. Jasa dan bakti beliau kami hargai, dan penduduk di Permatang Pauh sangat menghargai inisiatif ini.

“Ramai yang berminat kerana harganya agak mampu milik, khususnya untuk golongan B40. Banyak yang berminat untuk menyertai program julung kali ini, dan kami berharap ia dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Masjid Pekan Permatang Pauh, Arif Alwi Suhaimi Arif berkata, pihaknya menerima enam ekor lembu korban di bawah program Lembu Korban Madani bagi tahun ini.

“Alhamdulillah, kami telah menerima Lembu Korban Madani kali kedua, tahun lepas dan tahun ini. Pada tahun ini, sebanyak enam ekor lembu diterima.

“Bagi pihak Masjid Pekan Permatang Pauh dan seluruh anak kariah, kami mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sumbangan Lembu Korban Madani pada tahun ini,” katanya.

Daripada 260 ekor lembu korban yang disumbangkan, sebanyak 155 ekor lembu diagihkan menerusi Program Korban MADANI di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Permatang Pauh, iaitu DUN Seberang Jaya sebanyak 54 ekor, DUN Penanti (67 ekor) dan DUN Permatang Pasir (34 ekor), manakala 105 ekor lagi disumbangkan kepada Masjid Daerah Seberang Perai Tengah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.