KUALA NERUS, 16 September- Hampir 2,000 peserta melibatkan 59 kontinjen berarak sejauh 4.2 kilometer sempena Sambutan Maulidur Rasul 1446H/2024 Peringkat Terengganu.
Perarakan bermula dari padang sintetik Kampung Tok Jiring ke Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak Kuala Nerus.
Lima kategori dipertandingkan dalam perarakan tersebut antaranya kategori Jabatan Negeri dan Persekutuan, Badan Berkanun Negeri dan Persekutuan, sekolah menengah, IPTA dan IPTS, syarikat swasta dan bukan kerajaan serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, JPKK.
Johan setiap kategori yang menang membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.
Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1446H/2024 peringkat negeri di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak.
Baginda bertitah pendidikan agama perlu ditekankan sejak muda dalam membentuk generasi berakhlak mulia dan bertanggungjawab.
Peranan ibu bapa, sekolah dan institusi masjid dalam memberi keutamaan mendidik golongan muda adalah dituntut terutama pendidikan berteraskan nilai-nilai murni dan ajaran Islam.
Baginda turut menyarankan agar program-program yang memupuk akhlak mulia dan sahsiah terpuji di kalangan anak-anak muda terus diperkasa.
Ke arah itu, institusi pendidikan agama harus menyediakan rang mencukupi untuk pembelajaran ilmu agama yang komprehensif dan mendalam.
Masjid dan surau juga perlu memperbanyak kelas agama, kuliah maghrib dan kem ibadah.
Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin turut berangkat ke majlis berkenaan.