fb fb fb fb fb

Sultan Selangor berangkat ke Majlis Santapan Negeri Sarawak

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, diiringi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkenan berangkat ke Majlis Santapan Negeri di Dewan Undangan Negeri Sarawak / BERNAMA

KUCHING, 6 November- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Majlis Santapan Negeri di Bangunan Dewan Undangan Negeri, malam semalam.

Keberangkatan tiba baginda berdua diiringi Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut hadir Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Juma'ani Tuanku Bujang, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta barisan menteri dan timbalan menteri.

Majlis Santapan Negeri dibuat bersempena lawatan rasmi baginda berdua ke bandar raya Kuching.

Terdahulu, di sebelah siang, baginda berdua berkenan berangkat ke Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak, Kubu Margherita dan Juma'ani Pavilion.

Manakala kelmarin, baginda berdua melawat Pameran Sarawakiana 'Tradisi Kita Khazanah Kita' di Pustaka Negeri Sarawak, Muzium Budaya Sarawak (BCM).

Baginda turut berkenaan berangkat ke Majlis Penangguhan Sarawak Regatta Kuching Waterfront Festival dan menikmati Night Cruise di Tebingan Kuching.

Ini merupakan kali pertama pasangan diraja itu berangkat ke Kuching bagi lawatan rasmi ke Bumi Kenyalang.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin dijadual berangkat pulang ke Selangor pada 11.30 pagi dengan menaiki pesawat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE