fb fb fb fb fb

Sultan Selangor titah MAIS beri peringatan

SHAH ALAM, 13 Mac- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj mengingatkan Majlis Agama Islam Selangor, MAIS supaya berterusan mengeluarkan arahan dari semasa ke semasa agar umat Islam khususnya orang-orang politik tidak menjadikan masjid dan surau di negeri Selangor sebagai pentas untuk mereka berceramah dan berkempen menjelang Pilihan Raya Negeri yang akan datang.

"Beta menyeru untuk semua pihak yang mengambil bahagian di dalam pilihan raya nanti agar mematuhi peraturan sedia ada dan saling hormat menghormati satu sama lain. Ingatlah, tingkah laku orang-orang politik semasa tempoh kempen akan disaksikan dan dinilai oleh rakyat sebelum mereka membuat pemilihan," titahnya.


(Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin
berkenan berangkat sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal
Keenam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Yang Keempat Belas
Tahun 2023 di Bangunan Dewan Negeri Selangor / Foto Bernama) 

Baginda turut mengingatkan semula agar tidak menjadikan masjid dan surau sebagai medan dan propaganda politik kepartian.

Sultan Selangor beberapa kali menitahkan MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor agar memastikan masjid dan surau bebas dari unsur-unsur politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian umat Islam.

Justeru, titah Baginda, hanya mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan yang luas mengenai agama Islam sahaja yang layak untuk diberikan tauliah untuk mengajar bagi mengelakkan anasir ajaran sesat serta budaya fitnah-memfitnah dari berlaku.

Baginda bertitah selepas berkenan menyempurnakan istiadat pembukaan persidangan penggal ke-enam Dewan Undangan Negeri Selangor ke-14 di Shah Alam, hari ini

Berangkat sama, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Sidang Dewan Negeri Selangor dijadual berlangsung selama dua minggu bermula esok.

Media Baharu