fb fb fb fb fb

Sultan Perak titah langkah preventif dilaksana segera

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bersama Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan menyantuni waris mangsa - Foto Bernama

IPOH, 9 Jun - Susulan daripada kekerapan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kehilangan nyawa kebelakangan ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berpandangan bahawa langkah-langkah preventif perlu segera dilaksana.

Baginda menitahkan semua pihak berkaitan menjadikan tragedi yang berlaku sebagai satu pengajaran penting, dengan mengenal pasti serta menerima kelemahan sedia ada untuk dilakukan penambahbaikan.

Titah baginda, penambahbaikan perlu diberi penekanan khususnya dari sudut penguatkuasaan undang-undang dan peraturan bagi mengelakkan kejadian kemalangan tragik daripada terus berulang.

 

Sultan Nazrin turut menerima sembah taklimat mengenai nahas bas yang mengorbankan penuntut UPSI - Bernama

Terdahulu, Baginda bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, yang juga Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkenan berangkat ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), untuk menziarahi keluarga mangsa.

Baginda berdua turut menerima sembah taklimat mengenai nahas bas yang membawa penuntut UPSI di Kilometer (KM) 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik awal pagi tadi dan mengorbankan 15 nyawa.

Sultan Perak turut menzahirkan rasa dukacita terhadap tragedi berkenaan.

Dalam pada itu, Baginda menzahirkan simpati serta ucapan takziah kepada ibu bapa dan keluarga mangsa yang terlibat.

Baginda turut berdoa agar semua waris mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian berat ini dengan reda.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK