fb fb fb fb fb

Sultan Pahang mahu gerakan ajaran sesat dihentikan

Foto FB Pahang Media / Farizul Hafiz Awang

KUANTAN, 16 September- Pahang perlu berada di landasan Islam yang sebenar dan segala gerakan ajaran sesat yang masih bertapak di negeri itu perlu dihentikan.

Titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, daripada 34 ajaran sesat yang telah dikenal pasti sejak dahulu, kini masih terdapat enam ajaran sesat yang bertapak di negeri itu, termasuk dua di daerah Pekan.

Baginda turut bertitah bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) perlu bekerjasama dalam menghentikan ajaran sesat yang masih aktif di negeri tersebut.

"Saya berdoa supaya negeri Pahang ini berada di landasan yang betul.. kita tidak mahu adanya ajaran-ajaran sesat, salah bertapak di negeri Pahang ini.

"Tuan-tuan dan puan-puan jadilah mata dan telinga kepada pemerintah seterusnya kepada saya," titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini.

Baginda juga menyeru rakyat untuk menghentikan budaya mentaksubkan pemimpin dan guru-guru bagi memelihara akidah umat Islam.

Turut berangkat pada majlis itu, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pada majlis tersebut, bekas Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Allahyarham Datuk Abdul Razak Abu dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul.

Keluarga Allahyarham membawa pulang wang tunai RM10,000, sijil penghargaan dan trofi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM