Sultan Nazrin berangkat rasmi masjid di Kampar

Foto BERNAMA

KAMPAR, 9 Mac -Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Masjid dan Majlis Berbuka Puasa Daerah Kampar di Masjid Jamek Kampung Jeram, petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sultan Nazrin menanam pokok bunga tanjung sebagai simbolik perasmian.
  • Majlis disusuli bacaan Al-Quran, tahlil, doa selamat dan majlis berbuka dihadiri kira-kira 300 jemaah.
  • Baginda turut berkenan menunaikan solat Maghrib, Isya dan Tarawih secara berjemaah.
  • Masjid asal kayu dipindahkan 1914; masjid baharu 1982 mempunyai struktur konkrit, menara dan kubah diinspirasikan reka bentuk Masjid Negara.

Keberangkatan tiba baginda pada pukul 7.00 petang disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sebaik tiba, Sultan Nazrin berkenan menanam pokok bunga tanjung sebagai simbolik perasmian.

Majlis diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, tahlil dan doa selamat disusuli majlis berbuka puasa dihadiri kira-kira 300 jemaah.

Sultan Nazrin turut berkenan berangkat menunaikan solat Maghrib, Isya dan Tarawih secara berjemaah.

Masjid Jamek Kampung Jeram pada asalnya merupakan masjid kayu di Gunung Tunggal, Simpang Keboi sebelum dipindahkan ke tapak terkini pada tahun 1914.

Bagi menampung pertambahan jemaah, masjid baharu dibina pada tahun 1982 bersebelahan masjid lama yang mempunyai struktur konkrit moden, menara dan ruang solat lebih luas.

Kubahnya diinspirasikan daripada reka bentuk Masjid Negara berbentuk payung separa terbuka manakala masjid lama terus dipelihara sebagai bangunan warisan.