Sultan Kelantan ketuai Walkathon D’Raja ‘Walk With Me’ 2026 pada 14 Februari

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Tengku Mohamad Faziharudean Tengku Feissal bercakap pada sidang media di Kota Bharu, hari ini/ RTM

KOTA BHARU, 3 Februari – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Kelima dijangka mengetuai acara Walkathon D’Raja ‘Walk With Me’ 2026 yang akan berlangsung pada 14 Februari ini di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sultan Muhammad Kelima dijangka mengetuai Walkathon D’Raja ‘Walk With Me’ 2026 pada 14 Februari di Stadium Sultan Muhammad IV.
  • Acara edisi keenam bertema “In The Memory of Dato’ KY” mengenang jasa Almarhum Datuk Tengku Ibrahim Farahiddin.
  • Lebih 15,000 peserta dijangka, dengan aktiviti kebudayaan, 350 dron bercahaya, dan karnival tiga hari menyertai program.

Turut berangkat, Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Tengku Mohamad Faziharudean Tengku Feissal berkata, program edisi keenam itu kembali dianjurkan selepas 10 tahun, dengan penganjuran kali terakhir berlangsung pada tahun 2016.

Walkathon kali ini membawa tema istimewa “In The Memory of Dato’ KY” khusus bagi mengenang jasa dan sumbangan Almarhum Datuk Tengku Ibrahim Farahiddin Tengku Feissal.

Almarhum merupakan Bendahari Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan Al-Muhammadi dan antara individu penting yang bekerja keras menjayakan Walkathon D’Raja sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2011.

“Program yang menjadi cetusan idea baginda Sultan Kelantan ini bertujuan untuk merapatkan hubungan antara raja dan rakyat, selain memperkukuh silaturrahim, acara ini juga mempromosikan budaya hidup sihat dan menyatukan rakyat pelbagai kaum serta latarbelakang,” kata beliau kepada pemberita pada sidang media, di sini hari ini.

Walkathon D’Raja 2026 dianjurkan Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan Al-Muhammadi dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dan RTM Kelantan sebagai rakan strategik program.

Dianggarkan lebih 15,000 peserta terdiri daripada pelajar sekolah, universiti, kakitangan kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta komuniti setempat mengambil bahagian dalam walkathon sejauh 3.2 kilometer itu yang menampilkan kepelbagaian aktiviti kebudayaan di setiap ‘checkpoint’.

Antara tarikan utama majlis perasmian ialah pertunjukan 350 dron bercahaya yang akan menghiasi ruang udara pada ketinggian 300 meter di Stadium Sultan Muhammad IV.

Sebagai acara sampingan, Karnival Walkathon D’Raja akan diadakan selama tiga hari bermula 12 hingga 14 Februari dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk festival makanan, pameran agensi kerajaan dan swasta serta kehadiran tiga ekor gajah bersaudara sepanjang program yang dijangka turut memeriahkan suasana.

Pengisian keagamaan seperti tahlil dan ceramah agama turut diadakan, selain pelbagai aktiviti kebudayaan dan sukan termasuk senamrobik, pertandingan memasak, pertandingan mewarna kanak-kanak, serta pertunjukan teh tarik untuk pengunjung.