JOHOR BAHRU, 15 Mei- Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan kekecewaan terhadap keadaan bangunan, penyelenggaraan dan tahap kebersihan rumah pangsa kos rendah di negeri itu.
Baginda menerusi catatan di laman Facebook menegaskan, kebanyakan rumah pangsa kos rendah daif dan dipenuhi sampah sarap yang dibuang merata-rata sehingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa.
Titah Sultan Ibrahim, rakyat Johor hidup seperti dalam reban ayam dan keadaan banyak rumah pangsa di Johor sangat menyedihkan.
Baginda juga tidak berpuas hati dengan perkhidmatan pembersihan yang dilaksanakan syarikat konsesi, SWM Environment Sdn Bhd.
"Meskipun kerajaan negeri membelanjakan RM180 juta kepada syarikat konsesi itu namun mutu pembersihan tidak memuaskan," menurut catatan media sosial tersebut.
Sehubungan itu baginda berharap kerajaan Persekutuan dapat memberi bantuan bagi membaik pulih rumah pangsa selain meminta penduduk menjaga kebersihan kawasan persekitaran.
Sultan Ibrahim sebelum itu berkenan menerima menghadap Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming di Istana Bukit Serene di sini.
Turut sama hadir menghadap Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.
(Sultan Johor zahir kekecewaan keadaan rumah pangsa kos rendah)