fb fb fb fb fb

Sultan Ibrahim, Yang di-Pertuan Agong ke-17

Sultan Ibrahim/Foto Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR, 31 Januari - Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Iskandar hari ini secara rasmi melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara.

Pada istiadat sama, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah turut melafaz sumpah memegang jatawan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Baginda berdua dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara pada 27 Oktober tahun lalu, bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.

Sultan Ibrahim, 65, dan Sultan Nazrin Shah, 67, melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Raja-raja Melayu dari Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Sementara Perlis, Johor dan Pahang diwakili Pemangku Raja serta Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak selain dif-dif kenamaan yang mewakili badan eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Malaysia adalah sebuah daripada 43 negara di dunia yang mengamalkan sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan satu-satunya negara yang mengamalkan sistem penggiliran dalam kalangan sembilan raja Melayu.

Istiadat di Balairung Seri itu diadakan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) yang dipengerusikan oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sultan Ibrahim turut menandatangani Surat-surat Perisytiharan Memegang Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudiannya membacakan kandungan surat perisytiharan itu, bermulanya secara rasmi Sultan Ibrahim sebagai Ketua Negara baharu Malaysia berdasarkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Sultan Ibrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) pada Oktober tahun lepas yang turut memilih Sultan Nazrin sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, semalam.

BERITA BERKAITAN

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI