KUALA LUMPUR, 21 Disember - Rata-rata masyarakat menarik nafas lega susulan tiada kenaikan tarif elektrik di Semenanjung mulai 1 Januari sehingga 31 Jun 2025.
Menerusi tinjauan RTM di ibu negara, keputusan itu dilihat dapat meringankan beban perbelanjaan bulanan isi rumah demi kesejahteraan rakyat.
"Sebagai rakyat Malaysia, terutama golongan B40, langkah ini sangat membantu. Jika tarif dinaikkan, ia pasti membebankan kami. Jadi, syukur Alhamdulillah," kata Mohd Azarul Hakim Azami.
"Keputusan ini sangat bagus. Bil elektrik sekarang pun boleh tahan tinggi. Jadi, langkah ini membolehkan kita mampu bayar," kata Ramlah Deraman.
Dalam pada itu, pengguna dengan keluarga besar turut meluahkan kelegaan mereka.
"Saya ada ramai anak yang guna banyak elektrik. Kalau kerajaan terus kekalkan langkah ini, ia pasti lebih baik untuk semua rakyat," ujar Noraini Ariffin.
Semalam, kerajaan memutuskan tiada kenaikan tarif elektrik di Semenanjung bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun tahun depan.
Keputusan ini dicapai menerusi pelaksanaan kadar pelepasan kos tidak seimbang (ICPT), yang mengekalkan subsidi elektrik secara bersasar.
Langkah ini membuktikan komitmen kerajaan untuk melindungi kesejahteraan rakyat, terutama pengguna domestik, daripada beban kos elektrik yang meningkat.