
MIRI, 3 April – Kestabilan kos sara hidup dan kelangsungan ekonomi rakyat di Sabah dan Sarawak lebih terjamin dengan pengekalan subsidi diesel.
- Geografi luas dan penempatan luar bandar menjadikan diesel keperluan asas untuk kehidupan dan mobiliti komuniti.
- Diesel menyokong sektor logistik serta pengangkutan awam yang terhad, mempengaruhi kos penghantaran dan harga barangan.
- Dasar subsidi dilaksanakan untuk memastikan keadilan wilayah dan mengawal kos sara hidup di Sabah dan Sarawak.
Faktor geografi luas serta penempatan komuniti luar bandar yang berselerak menjadikan bahan api itu sebagai keperluan asas yang utama.
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata bahan bakar itu menjadi keperluan dalam menyokong sektor logistik dan pengangkutan awam yang masih terhad.
“Inilah subsidi yang selama ini sangat diperlukan. Berdasarkan sejarah, kos barangan di Sarawak sememangnya lebih tinggi berbanding Semenanjung Malaysia.
“Dasar ini dilaksanakan bagi memastikan keadilan mengikut wilayah, mengawal kos sara hidup, serta mengekalkan kestabilan ekonomi di Sarawak dan Sabah”, katanya.
Beliau berkata ekonomi Sabah Sarawak banyak bergantung kepada sektor pertanian, perikanan dan perladangan yang memerlukan penggunaan diesel secara meluas.
“Diesel di Sarawak bukanlah satu kemewahan, sebaliknya merupakan keperluan asas. Tambahan pula, barangan di Sarawak lebih mahal disebabkan kos pengangkutan dan logistik, termasuk kos penghantaran jarak jauh, rantaian bekalan yang terhad, serta cabaran pengedaran ke kawasan luar bandar”, katanya.
Beliau ditemui media selepas merasmikan program The Great Escape (TGE) 2026 di Universiti Curtin Malaysia, Miri, Sarawak.