fb fb fb fb fb

'Subsidi diesel beri ruang pengguna nikmati harga lebih rendah' - Pengguna

Tinjauan awam pengguna diesel di sekitar Lembah Klang yang ditemui RTM hari ini

KUALA LUMPUR, 22 Mei - Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel bakal membantu mengurangkan kos dan perbelanjaan pengangkutan barangan bagi pengguna bahan api tersebut.

Peniaga dan penyedia perkhidmatan menyifatkan pelaksanaan itu memberi ruang kepada pengguna menikmati harga bahan api yang lebih rendah.

Rata-rata pengguna diesel yang ditemui RTM di sekitar Lembah Klang berkata dengan subsidi bersasar itu dapat mengekang kenaikan mendadak bagi harga barangan dan perkhidmatan di setiap rantaian.

"Lori ni memang isi diesel RM130 untuk tangki penuh, tapi kalau dapat subsidi kita boleh kurangkan harga, sekarang kita bayar RM130 sekali isi dan bila isi boleh diguna untuk perjalanan dua atau tiga hari," kata A. Santhiran Balakrishna.

"Subsidi minyak diesel ini boleh membantu peniaga kecil macam saya. Kalau seminggu saya isi full tank dalam RM60 untuk seminggu. Memang dapat pulangan modal walaupun tak banyak, tapi memadai untuk saya," kata Wan Rifhan Megat Romizi.

"Mak cik akan isi RM50 boleh tahan penggunaan untuk 3 hari dari Gombak ke Pantai Dalam. Dengan adanya subsidi dapatlah membantu sikit untuk rakyat," kata Noriah Fikimin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan Perutusan Negara pada malam Selasa mengumumkan Kabinet bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api bermula dengan diesel membabitkan pengguna di Semenanjung Malaysia.

GRACE AISYAH KEDAYAN