Subsidi bersasar penting hadapi lonjakan harga minyak global – Pakar

Penutupan Selat Hormuz laluan strategik yang menyalurkan 20 peratus minyak dunia boleh mencetuskan kejutan ekonomi besar termasuk di Malaysia – Prof. Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali (foto kecil)

KUALA LUMPUR, 3 Mac- Kenaikan harga minyak global akibat ketegangan di Selat Hormuz menuntut kerajaan mengekalkan subsidi bersasar bagi melindungi rakyat negara ini daripada kesan inflasi, kata Presiden Persatuan Muamalat Malaysia (MMA), Prof. Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali.

RINGKASAN BERITA AI
  • SubsidI bersasar perlu dikekalkan untuk lindungi golongan rentan daripada kesan inflasi akibat lonjakan harga minyak.
  • Kerajaan mesti memantau harga dan komunikasi secara ketat untuk mengelak panik dan manipulasi pasaran.
  • Lonjakan harga minyak meningkatkan kos subsidi, pengangkutan, insurans serta harga barangan dan makanan.
  • Malaysia perlu bersedia hadapi ketidaktentuan geopolitik demi kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Beliau menjelaskan, walaupun Malaysia tidak berada di zon konflik, kesannya tetap dirasai.

Lonjakan harga minyak boleh meningkatkan kos subsidi, pengangkutan, insurans dan seterusnya harga barangan serta makanan.

Prof. Dr. Nuradli berkata Malaysia perlu bersiap sedia menghadapi ketidaktentuan geopolitik demi kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Apabila bekalan minyak disekat, ia menjadikan bekalan lebih terkawal dan ini menyebabkan lonjakan harga. Harga minyak boleh berubah dengan cepat; contohnya, pada Isnin lalu, harganya meningkat secara drastik,” kata beliau.

Sehubungan itu, beliau menekankan kerajaan perlu memantau harga barangan dengan ketat dan memastikan komunikasi jelas bagi mengelak rakyat panik.

Tambah Prof. Dr. Nuradli, subsidi bersasar penting untuk membantu golongan rentan.

“Pemantauan harga barangan penting supaya tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga akibat krisis perang,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual pada program Selamat Pagi Malaysia di RTM hari ini.