MASJID TANAH, 12 Januari- Subsektor perikanan tangkapan negara mencatatkan pengeluaran sebanyak 1.42 juta tan metrik dengan nilai keseluruhan RM12.8 bilion pada 2024.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata daripada jumlah itu, perairan laut dalam menyumbang pengeluaran sebanyak 86.7 peratus atau 1.23 juta tan metrik manakala kutipan laut dalam sebanyak 13.3 peratus atau 189,000 tan metrik jumlah tangkapan.
Katanya, sebanyak 49,173 vessel digunakan sepanjang 2024 untuk membantu aktiviti tangkapan ikan oleh 11,344 orang nelayan di seluruh negara.
Jelasnya, pada tahun ini pihaknya menyasarkan peningkatan jumlah tangkapan sebanyak 1.5 juta tan metrik walaupun sumber perikanan negara terhad.
"Pendaratan kita adalah 484,000 tan metrik dan diikuti oleh Zon C, 430,000 tan metrik dan juga Zon B, 318,000 tan metrik. Jadi, kita lihat sumbangan besarnya datang daripada zon A secara umumnya aktiviti perikanan Zon A ini adalah aktiviti penangkapan ikan di kawasan kosong hingga lima batu nautika.
Ini adalah untuk sampan-sampan kecil. Sebenarnya mereka yang menyumbang banyak kepada pendaratan ikan manakala Zon B dan Zon C adalah perairan lebih jauh. Zon B ini sehingga 12 batu manakala Zon c lebih daripada 12 batu 12 hingga 30 batu nautika," kata Datuk Adnan kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas Karnival Pertanian Peringkat Parlimen Masjid Tanah 2025 di JAPERUN Masjid Tanah.
Tambahnya, sasaran berkenaan mampu dicapai sekiranya usaha dan program pemuliharaan sumber terus dijalankan secara mampan antaranya melabuhkan tukun di perairan umum, mengawal pelesenan perikanan dan pencerobohan.