fb fb fb fb fb

Suami isteri warga Singapura cemas kereta terbakar di CIQ

Kereta milik warga Singapura terbakar ketika melalui laluan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru malam tadi/ Foto: Polis

JOHOR BAHRU, 9 Julai- Sepasang suami isteri berdepan detik cemas selepas kereta yang mereka dinaiki mereka terbakar di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 8.15 malam ketika pasangan berkenaan dalam perjalanan balik ke Singapura.

"Kebakaran itu berjaya dikawal anggota pelbagai agensi termasuk polis, RELA, polis bantuan, dan anggota Jabatan Imigresen daripada merebak menggunakan alat pemadam api.

“Api berjaya dikawal sepenuhnya jam 8.35 malam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi. Punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kebakaran menyebabkan bahagian pemandu dan tempat duduk penumpang hadapan serta bahagian enjin hangus sama sekali.

Namun kata Raub, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan insiden tersebut turut tular di media sosial.

ZEHRA BINTI ZAMBRI