fb fb fb fb fb

Suami isteri selamatkan jiran terperangkap dalam kebakaran

IPOH, 27 April - Kepantasan sepasang suami isteri berlari keluar rumah sebaik mendengar jeritan meminta pertolongan berjaya menyelamatkan jiran mereka dalam kebakaran membabitkan empat rumah di Hala Taman Meru 10, Taman Meru Fasa 2B di sini, malam tadi.

Ahmad Rizal Razali, 38, dan isteri, Nik Rozita Mohd Yusuf, 37, ketika itu sedang bersiap-siap untuk tidur sebelum dikejutkan dengan jeritan jiran sebelah rumahnya, Nurul Asyikin Mohamed Razali, 26, yang memaklumkan rumah mereka terbakar.

“Saya terus bawa keluar isteri dan dua anak kami. Kami dengar jeritan meminta tolong daripada Nurul Asyikin dan jiran-jiran semua terus keluar cuba membantu dengan memecahkan pintu rumah mereka kerana asap telah mulai memenuhi segenap ruang.

“Nurul Asyikin dan anak sulungnya, Sofia, 5, berjaya diselamatkan selepas itu. Anaknya yang kedua, Haraz, 3, yang bersembunyi di bawah katil, kemudian diselamatkan. Namun api tiba-tiba semakin marak dan kami tidak dapat masuk untuk mengeluarkan suaminya, Muhammad Fadzril Husaini, 32, yang berada di dapur.

“Menurut Nurul Asyikin, suaminya cuba membuka pintu dapur tetapi gagal sebelum pengsan dan dihempap serpihan siling rumah. Mujur bomba datang dan menyelamatkannya sebelum kesemua ahli keluarga itu dibawa ke hospital,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian hari ini.

Ahmad Rizal berkata sewaktu kejadian kira-kira 10 malam itu, kawasan tersebut dilanda ribut petir dan dipercayai berlaku litar pintas di bilik kedua rumah jirannya sebelum kepulan asap merebak ke tiga rumah berdekatan.

Sementara itu, Norhuzaila Husaini, 45, kakak kepada Muhammad Fadzril berkata kejadian yang menimpa keluarga adiknya itu sangat mengejutkan.

“Saya cuba tenangkan adik ipar saya yang turut melecur bersama anaknya. Adik saya kini di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun. Saya harap dia kembali sembuh dan sihat sepenuhnya,” katanya sebak di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, penghuni sebuah lagi rumah, Nurul Hafiza Mohamed Salleh, 33, bersama suaminya, Muhammad Hariri Mohd Noor, 33, sedang tidur sebelum dikejutkan dengan jeritan ‘api-api, keluar rumah’ sewaktu kejadian tersebut.


(Kebakaran membabitkan empat rumah di Hala Taman Meru 10, Taman Meru Fasa 2B di sini)

“Walaupun rumah kami selang dua rumah, tapi asap telah penuh di ruang tamu. Kami berlari keluar dan sempat alih motor serta kereta ke tempat lebih selamat. Ada juga dengar orang azan sementara tunggu bomba. Ini kejadian pertama sejak pindah ke sini baru-baru ini,” kata Nurul Hafiza.

Dalam kebakaran semalam, sepasang suami isteri serta seorang anak perempuan mereka melecur dalam kejadian kebakaran membabitkan empat rumah teres setingkat yang terbakar antara lima hingga 80 peratus.

Anggota bomba melakukan pemadaman menggunakan dua aliran hos sepanjang 30 meter menggunakan sumber air daripada pili bomba dan operasi tamat sepenuhnya pada 2.20 pagi.
- BERNAMA

Media Baharu