NIBONG TEBAL, 20 Mac - Semua pihak digesa untuk tidak memberikan ulasan dalam isu berkaitan penjualan stoking yang tertera kalimah Allah secara berlebih-lebihan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia bagi mengelakkan timbul sebarang masalah terutamanya dikaitkan dengan sentimen 3R (agama, institusi diraja dan kaum) oleh segelintir pihak.
"Apabila lawatan dan siasatan dilakukan, kita dapati bukan kilang itu yang hasilkan. Ia adalah bahan import dari China dan kita tahu bahawa ini satu pengajaran yang agak mahal dan saya yakin semua pihak patuh kepada titah Agong. Kita selesaikan masalah ini sebaik-baiknya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di pekarangan Masjid Jamek Al Amin Simpang Tiga, di sini.
Tambah Ahmad Zahid, permohonan maaf dari pihak tersebut juga telah dibuat dan mengganggap mereka tidak mempunyai niat buruk.
Beliau juga berharap perkara itu dijadikan sebagai pengajaran dan diselesaikan sebaik mungkin supaya ia tidak disalah tafsir dan dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.