fb fb fb fb fb

STAR Team Maritim lakar sejarah tamat kursus payung terjun

Terjunan oleh pegawai STAR Team Maritim Malaysia dari pesawat Mi-17-IV BOMBA 01 di Taiping, Perak.

KUALA LUMPUR, 22 Ogos - Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia mencipta sejarah apabila dua pegawainya berjaya menamatkan Kursus Asas Payung Terjun Static Ram Air, yang dikendalikan Pasukan Khas Udara (PASKUB) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan kerjasama Unit 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kursus intensif dari 10 hingga 22 Ogos di Lapangan Terbang Lama, Tekah, Taiping itu disertai 15 peserta daripada pelbagai agensi keselamatan termasuk STAR Team, Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM dan anggota PASKUB Bomba.

Sepanjang latihan, peserta melaksanakan 13 terjunan dari ketinggian 4,000 kaki menggunakan pesawat Mi-17-IV BOMBA 01. Penyertaan pertama STAR Team ini dianggap bersejarah selepas 20 tahun penubuhannya, sekali gus memperkukuh keupayaan taktikal dan kepakaran udara dalam misi khas maritim.

Majlis pemakaian sayap kepakaran disempurnakan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Sri Ts. Nor Hisham Mohammad di Putrajaya dengan kehadiran wakil kepimpinan tertinggi Maritim Malaysia.

Kejayaan ini turut membuka kerjasama strategik antara STAR Team dan PASKUB, ke arah meningkatkan profesionalisme serta kesiapsiagaan aset elit negara dalam operasi sebenar.

TUN JULIA MOHD TAHIR