PUTRAJAYA, 13 September- Kerajaan akan melaksanakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) berkuat kuasa 1 Disember 2024.
Jabatan Perkhidmatan Awam berkata, pegawai awam mempunyai tempoh opsyen selama 40 hari mulai 21 Oktober sehingga 30 November 2024, bagi membuat pilihan sama ada SSPA atau kekal skim lama.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata pelaksanaan SSPA tidak akan menjejaskan pencen pegawai awam yang berstatus tetap. Namun, pelarasan gaji baharu hanya terpakai kepada pegawai awam yang memilih opsyen SSPA sahaja.
"Pelaksanaan dan perincian seperti pelarasan gaji dan urusan perkhidmatan menerusi SSPA akan dimulakan dengan sesi libat urus Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam masa terdekat di semua kementerian dan jabatan bagi membolehkan para pengurus sumber manusia mendapat pencerahan sewajarnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, dengan pelaksanaan SSPA, diharap aspirasi reformasi perkhidmatan awam akan terus diperkasakan dengan menyemai sikap taat setia dalam kalangan pegawai awam serta mampu memberikan khidmat yang terbaik dalam memacu kesejahteraan negara dan rakyat secara keseluruhannya.
Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 (Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan) boleh diakses melalui portal www.sspa.jpa.gov.my bermula hari ini.