PUTRAJAYA, 9 Januari- Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menyatakan komitmen bahawa Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan disegerakan.
Menurutnya, perkara itu akan menjadi fokus utamanya di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang kini menjadi harapan seluruh penjawat awam.
"Kita sedang menyiapkan satu sistem saraan baharu. Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) itu yang akan menjadi fokus utama saya disini dan itu juga pesanan yang berbahagia Tan Sri KSN untuk kita mempercepatkan lagi proses itu."
"Saya juga akan melihat daripada segi pendigitalan perkhidmatan awam di mana ini merupakan satu perkara yang baru dan perlu diterokai oleh penjawat-penjawat awam," kata Wan Ahmad kepada pemberita selepas sesi mengimbas kad perakam waktu (clock-in) di Jabatan Perkhidmatan Awam, hari ini.
Selain itu, peranan penjawat awam dalam mendukung hala tuju kerajaan dan pembudayaan integriti juga akan diberikan perhatian.