fb fb fb fb fb

SSM digantikan kepada SSPA berkuat kuasa 1 Disember 2024

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidatan Awam ke-19 (MAPPA) di Putrajaya

PUTRAJAYA, 16 Ogos - Kerajaan bersetuju agar Sistem Saraan Malaysia (SSM) digantikan kepada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berkuat kuasa 1 Disember 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan keputusan tersebut setelah mengambil kira pelbagai faktor termasuk pertimbangan yang teliti dan berhemah.

Beliau berkata, SSPA merupakan satu pengiktirafan terhadap pengorbanan yang begitu besar kepada penjawat awam keseluruhan terutama ketika negara dilanda wabak COVID-19.

"SSPA yang dirangka ini bukanlah semata-mata hanya pembaharuan dan peningkatan dalam pendapatan boleh guna yang akan dinikmati oleh penjawat awam, namun ianya adalah satu sistem saraan yang berteraskan prestasi.

"Siapa yang cemerlang, akan dapat ganjaran, siapa gagal mempamer prestasi yang baik, akan dikenakan tindakan. Maka SSPA mesti diukur berdasarkan produktiviti dan sumbangan secara langsung kepada kecekapan dan capaian perkhidmatan awam di semua peringkat," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidatan Awam ke-19 (MAPPA), di sini.

Tambah Anwar, penjawat awam yang tidak menunjukkan prestasi kerja yang baik, sering tidak hadir ke pejabat tanpa kelulusan Ketua Jabatan tidak akan diberikan ganjaran.

Ini dilakukan selaras dengan hasrat untuk memastikan peningkatan produktiviti dalam perkhidmatan awam dan menjaga kesejahteraan pegawai, prinsip pemberian ganjaran berasaskan prestasi dan tatakelakuan diperkenalkan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN