fb fb fb fb fb

SPRM sedang sahkan transaksi daripada Aman Palestin

Tan Sri Azam Baki

SEPANG, 8 Januari- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesahkan kesahihan transaksi syarikat-syarikat yang dipercayai memperolehi dana daripada Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) kerana terdapat banyak perkara yang mencurigakan. 

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki memberitahu, berdasarkan siasatan ke atas senarai syarikat-syarikat yang dihantar badan amal itu, pegawai penyiasat mengesan wujudnya perkara-perkara yang mencurigakan yang memerlukan penelitian mendalam. 

"Itu yang menimbulkan kesulitan kerana mereka (Aman Palestin) mendakwa mereka telah hantar (sumbangan). Tetapi isunya siapa penerima? Betul atau tidak? Itu yang perlu kita sahkan.

"Ini memang perkara-perkara yang perlu disiasat dengan teliti oleh pegawai-pegawai kita. Sebab itu kita perlu mengambil sedikit masa dan wang yang masih ada dalam bank kita perlu sita," katanya kepada pemberita selepas Simposium Tatakelola Baik Nasional 2024 di sini.

Majlis diadakan serentak dengan peluncuran Arahan Perdana Menteri No.1 Tahun 2023: Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Terdahulu, media melaporkan SPRM mendapati penyaluran dana awam kepada Aman Palestin ada yang digunakan untuk membeli aset atas nama syarikat proksi. Penyaluran dana pelaburan itu dipercayai kepada syarikat proksi dan pembelian aset atas nama proksi.

Sementara itu, berkenaan kes siasatan dana program Keluarga Malaysia dalam tempoh 2020 hingga 2022 SPRM dijangka akan memanggil empat individu termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Azam Baki berkata mereka akan dipanggil dalam tempoh terdekat bagi membantu menjalankan siasatan berhubung isu penggunaan dana kerajaan berjumlah RM700 juta untuk tujuan promosi dan publisiti sepanjang tempoh tersebut.

"Minggu ini... Paling lewat pun minggu depan. Kita akan menghubunginya satu persatu dan kita akan isukan berkenaan RM700,000 juta. Paling penting kita ingin lihat bagaimana perbelanjaan wang tersebut.

"Kita tidak mempunyai banyak maklumat berkenaan bagaimana ia diputuskan atau diluluskan. Namun ianya berkaitan bagaimana wang tersebut dibelanjakan dan syarikat-syarikat yang dapat," katanya.

Terdahulu, SPRM dilaporkan sedang menjalankan siasatan berhubung isu dakwaan penyalahgunaan wang bagi dana program keluarga malaysia.

Menurut laporan penggunaan itu dibelanjakan bagi tujuan promosi dan publisiti untuk menghebahkan pencapaian kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022 ketika pentadbiran dua Perdana Menteri sebelum ini.

SPRM juga sedang mengumpul keterangan yang dapat membantu siasatan berkenaan dana itu diluluskan dan dibelanja.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI