fb fb fb fb fb

SPRM pastikan titah Agong perangi rasuah dilaksanakan sepenuhnya

Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, semalam/FOTO FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

PUTRAJAYA, 2 April- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memastikan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk memerangi rasuah dilaksanakan sepenuhnya dengan berintegriti.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menerusi kenyataan berkata titah Seri Paduka Baginda melambangkan ketegasan Baginda memerangi ancaman rasuah, malah perlu dijunjung oleh setiap lapisan masyarakat kerana rakyat yang bebas rasuah merupakan kayu pengukur dan teras kepada keutuhan serta kestabilan negara.

"Sehubungan itu sebagai agensi penguat kuasa yang dipertanggungjawabkan untuk memerangi rasuah di negara ini, SPRM akan memastikan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan sepenuhnya dan menjalankan tanggungjawab tersebut dengan penuh integriti,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar semua rakyat tanpa kompromi dapat berganding bahu bersama SPRM dalam melaksanakan titah Seri Paduka.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan memerangi rasuah sebagai musuh nombor satu negara, antara tumpuan utama dalam pemerintahan baginda.

ROSLINA BINTI DIN