KUALA LUMPUR, 12 November - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan bahawa pegawai agensi itu ditempatkan di Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
Menurut agensi itu, pegawainya dilarang terlibat dalam mana-mana mesyuarat lembaga, jawatankuasa atau urus setia berkaitan perolehan di agensi luar mengikut 1Pekeliling Perbendaharaan (1PP).
"Ketika ini tiada pegawai SPRM yang ditempatkan di Mitra.
"Berhubung isu penyelewengan dana Mitra, SPRM telah selesai membuat siasatan terhadap isu berkenaan dari tahun 2019 ke 2021.
"Susulan itu, SPRM telah berjaya mendapat pendakwaan terhadap 12 kes dengan 10 kes masih dibicarakan di mahkamah manakala dua kes tertuduh telah mengaku salah," katanya menerusi kenyataan hari ini susulan laporan dua akhbar berbahasa Inggeris semalam.
Agensi itu tampil menjelaskan dan memperbetulkan fakta yang berkemungkinan akan mengelirukan umum atas dua laporan bertajuk “MACC stations officer at Mitra for greater transparency” dan “MACC Officers to join Mitra meeting”.
Mengulas lanjut, SPRM berkata, Laporan Khidmat Nasihat Amalan, Sistem dan Tatacara Pengurusan Dana Untuk Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India oleh Mitra telah diberikan kepada Kementerian Perpaduan Negara pada 22 Februari 2022.
"Ia sebagai langkah pencegahan untuk menutup sebarang ruang dan peluang rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dana kerajaan.
“Untuk makluman, Akta SPRM 2009 memperkasakan SPRM bukan hanya untuk menyiasat rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, malah tindakan pencegahan untuk memastikan kesalahan yang sama tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.