PUTRAJAYA, 30 Januari - Dakwaan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik mengenai perbuatan intimidasi oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dinafikan sekeras-kerasnya oleh institusi berkenaan.
Sebaliknya, pegawai yang dituduh melakukan ugutan itu sebenarnya hanya melaksanakan proses siasatan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) susulan dua aduan yang diterima berhubung salah laku ahli parlimen tersebut.
"Proses siasatan perlu dijalankan sebaik sahaja aduan rasmi diterima berhubung kesalahan melibatkan rasuah dan penyelewengan sebagaimana peruntukan undang-undang.
Setiap siasatan adalah mengikut SOP dengan memerlukan SPRM menemu bual beberapa saksi yang terlibat. Di samping itu, siasatan dijalankan berteraskan prinsip ketelusan, keadilan dan profesionalisme serta berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan," tegas SPRM dalam kenyataannya.
Mengulas lanjut, SPRM tidak akan tunduk kepada tekanan daripada mana-mana pihak untuk mengalihkan isu rasuah dan penyelewengan dengan pelbagai tekanan yang sengaja ditimbulkan.
SPRM menyeru pihak yang terlibat memberikan kerjasama penuh serta berhenti mensensasikan proses siasatan berkenaan.